Syarat-Syarat Sah Berpuasa - wanalovemekahmadinah

Sunday, May 15, 2016

Syarat-Syarat Sah Berpuasa

Syarat-Syarat Sah Berpuasa

Syarat-Syarat Sah Berpuasa 


Apabila kita ingin berpuasa,maka memperhatikan syarat sah puasa seperti berikut:

Syarat-syarat sah puasa ada enam perkara:
  • Islam - tidak sah puasa orang-orang kafir dan orang murtad.
  • Berakal atau mumaiyiz - tidak sah puasa orang yang hilang akal atau belum mumaiyiz.
  • Suci daripada haidh dan nifas sepanjang siang hari puasa.
  • Berniat tiap-tiap malam.
  • Menahan diri dari segala yang membatalkan puasa.
  • Pada hari yang sah puasa - tidak sah puasa pada hari yang diharamkan berpuasa.
Ibadah puasa merupakan salah satu saranan penting untuk mencapai takwa, dan salah satu sebab untuk mendapatkan ampunan dosa-dosa, pelipatgandaan kebaikan, dan pengangkatan darjat (kedudukan disisi-Nya). Allah telah menjadikan ibadah puasa khusus untuk diri-Nya dari amal-amal ibadah lainnya.

Al Marhum Ustaz Saed Hawwa dalam kitabnya “ الاسلام “ pernah mengeluarkan kenyataan ‘ ورمضان فى الحقيقة مدرسة ‘ – Ramadan pada hakikatnya adalah umpama sekolah. Ertinya tempat, masa, suasana dan persekitaran didikan yang khusus lagi istimewa dan tiada bandingannya. Kelebihan dan fadhilatnya adalah ditentukan / ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Bulan yang banyak hikmat dan kelebihanya disiang hari mahupun di waktu malam yang sunyi,turut ditaburi dengan limpahan kebaikan,menerusi sabda Rasulullah s.a.w didalam hadist seperti berikut;
Hadith Rasulullah SAW (Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya dan menyatakan hadis itu sahih. Juga diriwayatkan melalui jalannya oleh al Baihaqi):
Maksudnya: Daripada Salman al Farisi رضى الله عنه katanya: 
Rasulullah s.a.w telah memberi khutbahnya kepada kami di hari akhir daripada bulan Sya’aban dengan Sabdanya, Wahai orang ramai (orang-orang Mukmin), telah menaungi kamu (menjulang atas kamu) suatu bulan yang agung, lagi penuh keberkatan, bulan yang terdapat di dalamnya satu malam yang fadhilatnya melebihi seribu bulan, bulan yang Allah s.w.t jadikan (tentukan) ibadah Puasa di dalamnya adalah wajib (fardhu) dan qiam ( إحياء) di malam hari Ramadhan adalah “ تَطَوُّع “ (sunnat). Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah dengan melaksanakan satu kebaikan (amalan) sunnat di dalam Ramadhan, maka (fadhilatnya) sama dengan orang yang melakukan satu amalan wajib pada bulan-bulan yang lain. Dan sesiapa yang melaksanakan satu amalan wajib (fardhu) di dalam Ramadhan maka (fadhilatnya) sama dengan orang yang melakukan tujuh puluh amalan wajib pada bulan-bulan yang lain. Bulan Ramadhan juga adalah bulan kesabaran dan kesabaran itu pahalanya (balasan kepada orang yang sabar) adalah Syurga ( الجنة). Ramadhan juga adalah bulan simpati dan tolong menolong (bantu membantu) juga bulan yang ditambah rezeki kepada orang Mukmin (rezeki kurniaan Allah s.w.t). Dan sesiapa yang ikhlas memberi makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa ( إفطار ) maka (dengan amalan itu) ia mendapat keampunan Allah (menghapuskan) dosa-dosanya dan ia mendapat kebebasan daripada azab Api Neraka serta ia mendapat ganjaran pahala yang sama dengan orang yang berpuasa tanpa kurang sedikitpun. Para sahabat berkata kepada Rasulullah s.a.w : Ya Rasulullah !, bukan semua dikalangan kami ini mempunyai makanan untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa. Maka Rasulullah s.a.w menjawab (dengan memberi penjelasan) bahawa Allah sw.t akan memberi pahala yang sama kepada sesiapa yang memberi kepada orang-orang yang berpuasa untuk berbuka puasa walaupun sebiji buah tamar atau seteguk air atau seteguk susu ( لبن مخلوط ). Bulan Ramadhan di awalnya adalah Rahmat, di tengahnya adalah keampunan Allah dan di akhirnya kebebasan daripada azab Api Neraka. Sesiapa yang memberi keringanan kepada “ مملوك nya “ (sekarang ini : khadam atau pembantu rumahnya) di dalam bulan Ramadhan, maka Allah s.w.t mengampunkan dosanya dan membebaskannya daripada azab Api Neraka. Maka hendaklah kamu perbanyakkan (ulang-ulangkan) empat perkara (amalan) di dalam bulan Ramadhan. Iaitu dua perkara (amalan) yang membawa kamu mendapat keredhaan Allah dan dua perkara (amalan) lagi kamu pasti (tidak dapat tidak) berhajat kepadanya. Adapun dua perkara (amalan) yang membawa kamu mendapat keredhaan Allah ialah Syahadat ( لااله الا الله ) dan kamu pohon keampunan Allah s.a.w (banyak استغفار ) manakala dua perkara (amalan) yang kamu pasti (tidak dapat tidak) berhajat kepadanya iaitu kamu berdoa’ kepada Allah memohon SyurgaNya dan meminta perlindungan kepada Allah daripada azab Api Neraka. Seterusnya sesiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, nescaya Allah akan memberinya seteguk minuman di Akhirat nanti daripada air kolamku (حوضى) dan ia tidak akan rasa dahaga sehingga ia (diizinkan) masuk ke Syurga ( الجنة ). “
Bulan ramadhan adalah masuknya musim untuk beribadah.Lakukan sesuatu seolah-olah kita melihat Allah,dan jika kita tidak dapat melihat Allah,maka hendaklah kita merasai bahawa Allah yang melihat kita,

“ Hendaklah kamu memperhambakan diri (beribadah) kepada Allah, seolah-olah kamu melihatNya (Allah) dan sekiranya kamu tidak dapat melihatNya (dengan mata kasar), maka sedarlah bahawa Allah s.w.t melihat kamu. “

wallahualam

No comments:

Post a Comment