Melaksanakan Haji Qiran - wanalovemekahmadinah

Thursday, April 27, 2017

Melaksanakan Haji Qiran

Melaksanakan Haji QiranQiran bererti mengumpul dua perkara. Dari istilah syarak pula menggabungkan antara ihram haji dan ihram umrah dalam satu perjalanan.


Dalam urutan haji yang paling afdal adalah haji ifrad,haji tamatu,kemudian haji qiran.[1]

Bagi yang melaknsanakan haji tamatu dan haji qiran,hendaklah wajib fidyah ataupun membayar dam.

Melaksanakan Haji Qiran

Ia berlaku dengan seseorang itu berniat untuk umrah dan haji sekaligus di miqat, sama ada ia secara hakiki iaitu dengan niat yang merangkumi kedua ibadah tersebut, ataupun secara hukmi seperti pendapat ulama Hanafi dengan cara berihram umrah sahaja dahulu kemudian sebelum dia melakukan tawafnya separuh atau lebih, ia berniat pula untuk melakukan haji. Bentuk ini tidak ada dalam pendapat ulama lain.

Bagi ulama Hanafi, dengan melakukan demikian, penggabungan itu telah terlaksana. Ini kerana sebahagian besar daripada amalan bagi ibadah berkenaan telah ada.

Bagi ulama jumhur pula seorang itu sah melakukan qiran dengan cara sebaliknya, iaitu berihram untuk ibadah haji dahulu kemudian menggabungkan umrah dengannya. Cara ini dianggap makruh oleh ulama Hanafi.

Mengikut jumhur, jika hendak digabungkan haji kepada umrah, maka hendaklah dilakukan sebelum seseorang itu memulakan tawaf umrahnya.

Sekiranya pekerjaan tawafnya telah bermula, walaupun selangkah maka tidak lagi harus digabungkan haji dengannya.

Fiqh Haji


Dinyatakan di sini beberapa permasalahan fiqh berkenaan dengan ibadat haji:

Pertama: Bila seorang bakal haji mahu meninggalkan Mekah dia hendaklah tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan. Semasa melakukan tawaf ini, tarammul tidak perlu dilakukan.

Tawaf ini disebut juga sebagai Tawaf Wida' atau Tawaf Sadr. Hukum tawaf ini mengikut ulama jumhur, selain kalangan Maliki adalah wajib kecuali bagi ahli Mekah.

Kedua: Jika seseorang wanita itu didatangi haid semasa mahu berihram, maka dia hendaklah mandi dan berihram. Jika kedatangan haidnya selepas melakukan wuquf di Arafah dan Tawaf rukun, maka dia hendaklah terus meninggalkan Mekah.

Dia tidak dikenakan apa-apa disebabkan tidak melakukan Tawaf Wida'. Inilah pendapat Dr. Wahbah al-Zuhaili.

Ketiga: Mengikut ulama Hanafi, sekiranya orang melakukan haji tamattu' itu membawa binatang dam, maka kedudukan haji yang dilakukan adalah sama dengan Haji Qiran, sebagaimana yang telah dijelaskan.

Seseorang itu tidak bertahallul seperti yang dilakukan oleh mereka yang mengerjakan haji secara tamattu', bahkan dia akan terus berada dalam keadaan berihram sehinggalah ia menyembelih binatang dam pada Hari Nahar.

Keempat: Mengikut pendapat jumhur ulama, menyembelih binatang dam, sama ada berupa kambing, lembu, unta, atau 1/7 daripada seekor unta wajib dilakukan pada Hari Nahar dan di Mina selepas melakukan lontaran Jamrah Aqabah, iaitu pada hari raya sebelum melakukan amalan bercukur.

Alasan pendapat ini ialah, Rasulullah s.a.w sendiri menyembelih binatang damnya dengan cara ini.

Ulama Syafie pula mengatakan, sebaiknya sembelihan ini hendaklah dilakukan pada Hari Nahar kerana mengikut apa yang Rasulullah s.a.w lakukan di samping mengelakkan daripada khilaf yang ada di kalangan ulama.

Kelima: Menurut mazhab Syafie, ibadah haji yang disuruh oleh syarak pada asalnya adalah secara Ifrad. Walau bagaimanapun, tiada halangan bagi seseorang itu berihram secara tamattu' atau Qiran dengan syarat dia hendaklah membayar fidyah, iaitu menyembelih seekor kambing yang layak untuk sembelihan qurban.

Jika kambing atau nilainya tidak diperolehi, dia hendaklah berpuasa selama tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah balik ke tanah air.

Semoga kita mendapat haji yang mabrur dan melayakkan untuk menjadi hamba Allah SWT yang mentaati dan mematuhi-Nya. Amin.



[1]Kitab Safinatun Najah hlm62 bab haji Syaikh Salim Bin Sumair al-Hadrami

No comments:

Post a Comment