Yakjuj dan Makjuj Serta Tanda Kiamat Besar - wanalovemekahmadinah

Sunday, March 6, 2016

Yakjuj dan Makjuj Serta Tanda Kiamat Besar

Siapakah Yakjuj dan Makjuj Tanda Besar Kiamat?

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْبِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمSegala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.Sahabat yang dirahmati Allah,Masa dan saat kedatangan hari kiamat hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui , semua makhluk samaada malaikat, manusia dan jin tidak tahu bila saat datangnya hari kiamat.

Walaubagaimana pun Nabi SAW dalam hadis sahih ada menjelaskan tanda-tanda awal dan tanda-tanda besar kiamat akan berlaku dahulu sebelum kedatangan hari kiamat. Sebagai seorang muslim mukmin kita wajib percaya dan beriman kepada berita-berita ghaib yang disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW.
Mekah pada suatu masa laluDaripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata:
“Datang kepada kami Rasulullah SAW. Dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu baginda bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari kiamat”.
Lalu Nabi SAW. bersabda:
“Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian baginda menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam a.s, Yakjuj dan Makjuj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”. (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa terdapat 10 tanda-tanda besar akan berlaku dimuka bumi, dan setelah iannya berlaku maka akan datanglah hari kiamat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut :
'
1. Asap (dukhan) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit seperti selesema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.

2. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.

3. Dabbah, binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah SWT.

4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Pada saat itu Allah SWT tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.

5. Turunnya kembali Nabi Isa a.s Baginda akan mendukung pemerintahan Imam Mahdi yang berdaulat pada masa itu dan baginda akan mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian, membunuh babi dan baginda juga yang akan membunuh Dajjal.

6. Keluarnya bangsa Yakjuj dan Makjuj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zulkarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.

7. Gempa bumi di Timur.

8. Gempa bumi di Barat.

9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.

10. Api besar yang akan keluar dari Yaman.

Huraiannya :
Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan: “Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW. bahawa keluarnya Dajal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi ini. Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam (setelah baginda turun dari langit). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda kiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa kiamat yang dahsyat itu. Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya”.

Perbincangan kali ini kita cuba fokus kepada perkara ke 6 tanda-tanda besar kiamat iaitu
"Keluarnya bangsa Yakjuj dan Makjuj" yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zulkarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.

Sahabat yang dimuliakan,
Allah telah berfirman: "Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa al-Quran itu benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahwa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu. (Surah Fussilat 41: 53)
Allah menceritakan kisah lelaki itu (Zulkarnain) seperti firman-Nya dalam surah itu: “Dan mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Zulkarnain. Katakanlah: ‘Aku akan bacakan kepadamu cerita mengenainya’. Sesungguhnya Kami memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan Kami memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu, maka dia pun menempuh suatu jalan.Hingga apabila dia sampai ke tempat terbenam matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut berlumpur hitam dan dia mendapati di situ segolongan umat. Kami berkata: ‘Hai Zulkarnain, kamu boleh menyeksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka’. Berkata Zulkarnain: ‘Adapun orang yang aniaya maka kami kelak akan mengazabnya dengan azab yang tidak ada taranya’.” (Surah Al-Kahfi ayat 83 hingga 87)
“Kemudian dia menempuh jalan (yang lain). Hingga apabila sampai ke tempat terbit matahari (Timur) dia mendapati matahari itu menyinari segolongan umat yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sesuatu yang melindunginya dari (cahaya) matahari itu,” (Surah Al-Kahfi ayat 89 dan 90).
Yakjuj dan Makjuj tinggal di antara dua gunung :
"Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka (Zulkarnain) tidak dapat memahami perkataan. "(Surah Al-Kahfi ayat 93)
Yakjuj dan Makjuj melakukan kerosakan di bumi :
"Mereka berkata: 'Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?'." (Surah Al-Kahfi ayat 94)
Zulkarnain telah menahan Yakjuj dan Makjuj :
"Dia menjawab: '(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya'. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya."(Surah Al-Kahfi ayat 95 - 97)
Yakjuj dan Makjuj akan keluar kembali :
"(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: 'Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar'.". (Surah Al-Kahfi ayat 98)
Yakjuj dan Makjuj turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi :
Dikhabarkan di dalam Al Quran bahawa Yakjuj dan Makjuj akan turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.

Hadis Nabi SAW :
Dinding Zulkarnain menahan Yakjuj dan Makjuj telah terbuka :
Dari Zainab binti Jahsy : Bahawa Rasulullah bangun dari tidurnya sambil bersabda: "Laa ilaaha illallah, celakalah orang-orang Arab kerana suatu bencana akan terjadi, iaitu hari ini dinding menahan Yakjuj dan Makjuj telah terbuka sebesar ini. Dan Sufyan (perawi hadis ini) melingkarkan jarinya membentuk angka sepuluh (membuat lingkaran dengan jari telunjuk dan ibu jari). Aku (Zainab binti Jahsy) bertanya: Wahai Rasulullah, apakah kita semua akan binasa padahal di antara kita banyak terdapat orang-orang soleh? Baginda menjawab: "Ya, jika banyak terjadi kemaksiatan." (Hadis Riwayat Muslim)
Selain dari berita Yakjuj dan Makjuj dalam Al-Quran, terdapat banyak
hadis yang kuat membicarakan mengenai kaum ini. Namun ulama berbeza pendapat mengenai ciri-ciri kaum ini.

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, ciri fizikal Yakjuj dan Makjuj ialah bermuka bulat dan kulit kekuningan seperti wajah kebanyakan penduduk Asia Tengah. Ada pendapat lain menyatakan bahawa Yakjuj dan Makjuj berasal dari bangsa Tartar dan Monggol, dan lokasi tahanan mereka adalah di kawasan pergunungan Caucasus yang luas. Kebanyakan ulama menyatakan bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj terus wujud sehingga kini tetapi dipisahkan daripada dunia manusia oleh Allah dengan tembok yang dibina oleh Zulkarnain.

“Tugas kaum Yakjuj dan Makjuj ini ialah mengorek tembok tersebut untuk tembus ke muka bumi tetapi Allah masih menghalang mereka dengan kembali meneguhkan tembok tersebut sehinggalah hampirnya hari kiamat. Bila hampir kiamat, Allah mengizinkan tembok itu runtuh dan Yakjuj Makjuj bebas ke permukaan bumi. Peristiwa ini menjadi salah satu daripada 10 tanda besar kiamat. Yakjuj dan Makjuj akan muncul selepas kematian Dajal yang dibunuh oleh Nabi Isa a.s. Kaum Yakjuj dan Makjuj akan mendatangkan kerosakan besar di muka bumi. Kekuatan kaum Yakjuj dan Makjuj dikatakan luar biasa dan terlalu hebat sehingga tiada sesiapa yang mampu menewaskan mereka.

“Nabi Isa a.s. memerintahkan manusia yang masih beriman berlindung di pergunungan bagi mengelak menjadi mangsa Yakjuj dan Makjuj. Kemudian baginda berdoa ke hadrat Allah lalu Allah membinasakan kaum Yakjuj dan Makjuj dengan mengutuskan ulat yang menyerang belakang badan mereka hingga mati. Selepas kaum Yakjuj dan Makjuj mati serta menjadi busuk, Allah mengutuskan burung besar untuk mengangkut dan membersihkan mayat-mayat itu daripada muka bumi.

“Ulama juga cenderung berpendapat bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj berasal dan di kurung di benua Asia Tengah berdasarkan tafsiran Ayat 90 Surah Al-Kahfi yang menyebut bahawa Zulkarnain sampai “di tempat terbit matahari” iaitu timur dunia.
Kaum Yakjuj dan Makjuj ini hebat, tiada siapa yang mampu menewaskan mereka, dan mereka hanya binasa dengan kekuasaan Allah.

“Dalam sebuah hadis, Rasulullah ada menyatakan kebimbangan baginda kerana pada zaman baginda, kaum Yakjuj dan Makjuj dikatakan sudah berjaya menebuk benteng Zulkarnain menjadi sebesar bulatan ibu jari dan jari telunjuk.

Siapakah sebenarnya Yakjuj dan Makjuj? Dari sumber Al-Quran dan Hadis, ternyata bahawa mereka ini adalah dari bangsa manusia. Jelasnya, mereka adalah anak-anak Adam juga. Mereka adalah dari keturunan Yafits bin Nuh a.s.

Yahjuj dan Makjuj adalah amat kuat dan gagah dan tidak mampu dikalahkan oleh
manusia di muka bumi. Diriwayatkan juga bahawa mereka ini punya muka yang lebar, mata kecil, rambutnya kelabu keputihan dan muka mereka adalah seperti perisai yang ditutupi oleh kulit. (Musnad Ahmad).

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa pada setiap hari Yakjuj dan Makjuj cuba menggali atau memecahkan tembok Zulkarnain hinggalah mereka sampai ke peringkat bila mana mereka sudah nampak cahaya di luar sana. Kemudian mereka pulang dengan berkata “Esok kita akan dapat membolosinya”.Tapi Allah telah menjadikan tembok itu kembali ke bentuk asalnya menyebabkan mereka terpaksa menggalinya sedari mula. Proses ini berterusan hari demi hari selama mana Allah menghendaki mereka ini terkepung. Bila Allah menghendaki mereka ini keluar, di hujung hari mereka menggali itu mereka berkata “InsyaAllah, esok kita akan dapat membolosinya”.Pada esoknya mereka akan dapati tembok itu berkeadaan sebagaimana mereka telah tinggalkan hari semalam, dan setelah memecahkan bakinya itulah mereka akan keluar (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidhi, Ibn Majah).
Sahabat yang dikasihi,Demikianlah secebis kisah mengenai Zulkarnain.

Dalam rentetan perjalanan hidupnya, lelaki itu bertanggungjawab membina tembok bagi menghalang bangsa Yakjuj dan Makjuj mendatangkan angkara kepada manusia. Tembok binaan Zulkarnain itu hanya akan runtuh apabila dunia terlalu hampir dengan kiamat..
Ada pendapat yang meneliti dengan lebih terperinci.

Sheikh Hifzur-Rahman dalam “Stories of the Quran” telah menuliskan bahawa “Yakjuj Makjuj melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di kawasan yang luas, dan kerana gangguan mereka ini, banyak tembok dan dinding telah dibina di zaman dan tempat yang berlainan oleh raja-raja zaman silam. Ada empat yang paling terkenal:

1) Tembok Besar China, dibina oleh Raja China 3,460 tahun selepas Nabi Adam a.s.
2) Tembok di Asia Tengah berhampiran Bukhara dan Tirmidh, di tempat bernama Derbent.
3) Tembok di Degistan Rusia, juga dikenali sebagai Derbent berhampiran Laut Caspia.
4) Tembok yang berada di bahagian barat Derbent di Degistan Rusia itu, iaitu di kawasan Caucasus.

Beliau berpendapat oleh kerana tembok-tembok di atas dibina untuk tujuan yang sama (melindungi rakyat dari gangguan kaum yang ganas) maka amatlah sukar untuk menentukan secara tepat di manakah sebenarnya tembok yang dibina oleh Zulkarnain. Allama Anwar Shah Kashmiri dalam bukunya Aqeeda-tul-Islam berpendapat bahawa tembok Zulkarnain berada di kawasan Caucasus. Allama Aloosi pula berpendapat bahawa kedudukan tembok Zulkarnain tidak dapat diketahui secara tepat, dan besar kemungkinan ia sebenarnya berada jauh di sebalik gunung-ganang yang dipisahkan oleh laut yang luas.
Menurut satu pendapat mereka (Yahjuj dan Makjuj) adalah terdiri daripada suku bangsa Scythian iaitu suku kaum di Mongolia (Xiongnu, Mongol dan Tartar) dan juga suku kaum di wilayah selatan Russia (Khazar, Aryanomad, Hun Alan).

Mungkin orang akan tertanya-tanya iaitu kenapa pada waktu ini masyarakat di sana tidak sedikit pun membuat kekacauan terhadap dunia? Menurut pendapat para pengkaji Islam, Yakjuj dan Makjuj sebenarnya adalah manusia biasa (cucu-cicit Nabi Adam) Jadi kesimpulannya, kehidupan Yakjuj dan Makjuj pada masa kini adalah sama sahaja seperti kita iaitu mempunyai pegangan agama, patuh pada undang-undang negara dan sebagainya.

Untuk pengatahuan semua, masyarakat Mongol dan Khazar (Yakjuj dan Makjuj) sejak turun temurun lagi mengamalkan corak pemakanan yang amat bebas. Mereka akan makan apa sahaja yang mereka mahu seperti ulat, anjing, kucing, labah-labah, katak, ular, kura-kura, daun pokok, usus beruang dan lain-lain (sumber:National Geographic).

Kesan daripada corak pemakanan bebas yang diamalkan oleh bangsa ini telah menyebabkan keadaan mereka menjadi agak berlainan sedikit berbanding bangsa-bangsa yang lain.

Sifat mereka dikatakan agak sensitif dan tubuh badan mereka pula jauh lebih kuat berbanding bangsa lain tetapi mudah dihinggapi penyakit.

Cuba bayangkan betapa dasyatnya malapetaka akhir zaman kelak (harap ia tidak lagi berlaku semasa hayat kita ini). Ketika bangsa Yakjuj dan Makjuj telah memunculkan dirinya, dunia ketika itu dikatakan baru sahaja hampir pulih daripada kesan tanda kiamat besar yang pertama iaitu kemunculan asap dukhan yang menyelubungi timur dan barat bumi. Asap itu dikatakan akan mengakibatkan orang kafir (tidak berpuasa dan solat) boleh menghidapi penyakit radang manakala orang yang beriman (yang bersolat dan selalu berpuasa) pula hanya menghidapi penyakit selsema sahaja. Asap dukhan itu dikatakan akan menyelubungi bumi dalam tempoh masa yang agak lama, kemungkinan besar asap itu datangnya dari meteor yang akan terhempas ke bumi (wallahualam).

Menurut sumber rujukan, pada akhir zaman kelak segala kecanggihan teknologi akan musnah sama sekali. Segalanya adalah berpunca daripada kesan asap dukhan yang menyelubungi dunia ketika itu (tanda kiamat yang pertama) dan orang kafir pula banyak yang akan mati akibat dari perperangan, wabak penyakit serta kebuluran. Asap dukhan itu dipercayai akan merosakkan segala hasil pertanian dan penternakan sedikit demi sedikit sehinggalah menjadi kurang! Ini adalah kerana, asap dukhan itu akan menghasilkan hujan asid yang berlarutan sehingga membawa kepada ketandusan dunia. Lihatlah hadis di bawah ini:

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan datang hari kiamat sehingga hujan turun secara merata kepada manusia tetapi bumi tidak menumbuhkan tumbuhan sama sekali” (Hadis Riwayat Ahmad 3:140)

Kesimpulannya. Setelah membaca berbagai sumber hadis dan pendapat ulama di atas tadi, semakin jelaslah pada kita semua bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj ini adalah anak Adam juga, iaitu dari keturunan Yafits bin Nuh a.s. Mereka ini dikatakan berjumlah begitu ramai, umur mereka pun panjang-panjang, membolehkan mereka beranak-pinak begitu ramai sebelum mereka mati. Mereka juga dikatakan begitu kuat dan hebat, hinggakan seluruh manusia di bumi tidak terdaya mengalahkan mereka. Namun mereka akhirnya akan mati bergelimpangan akibat serangan “ulat”.

Walaupun mereka ini hebat dan kuat (hampir pasti juga mereka ini berteknologi canggih), mereka tidak dapat memecahkan tembok Zulkarnain menggunakan segala kepakaran dan teknologi yang ada selagi Allah tidak mengizinkan.Selain daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW, segala pendapat dan huraian mengenai Yakjuj dan Makjuj adalah pendapat dan pandangan ulama dan pakar-pakar dan pengkaji sejarah, semoga Allah SWT memberi rahmat dan pertolongannya dan mengampunkan jika berlaku kesilapan mengenai perkara ini. Segala yang benar itu datangnya daripada Allah SWT, waullahualam.

Sahabat yang dihormati,Kehadiran Yakjuj dan Makjuj pasti akan berlaku di akhir zaman seperti yang dijelaskan daripada hadis diatas. Semua ini adalah ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya dimuka bumi. Sesiapa yang beriman dan bertakwa dan istiqamah diatas jalan Islam maka mereka semua akan selamat, sebaliknya apabila manusia kufur kepada ayat-ayat Allah SWT, melakukan dosa dan maksiat maka manusia akan menanggung akibat daripada keingkarannya kepada Allah SWT. Mohonlah kepada Allah SWT semoga kita dijauhi daripada fitnah hidup dan mati, fitnah al-Mashi Dajjal, kejahatan Yakjuj dan Makjuj dan azab sengsara dan kerosakkan kehidupan di akhir zaman.

No comments:

Post a Comment