BAYAN AL-HAJ #18: HAJI TAMATTU’ DAN SYARAT DAM
SOALAN
Mengapakah orang yang mengerjakan Haji Tamattu’ dikenakan Dam dan apakah syarat-syarat dikenakan Dam bagi orang yang mengerjakan Haji Tamattu’?
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW.
Dalam ibadah haji yang kita laksanakan, terdapat peraturan-peraturan yang kita perlu penuhi dan larangan-larangan yang wajib kita jauhi dalam usaha bagi mendapatkan kesempurnaan ibadah haji tersebut.
Firman Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ ۚ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِّن رَّأْسِهِ فَفِدْيَةٌ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ ۚ فَإِذَا أَمِنتُمْ فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۚ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ ۗ تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ ۗ ذَٰلِكَ لِمَن لَّمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Merujuk kepada persoalan di atas, orang yang mengerjakan Haji Tamattu’ dikenakan dam kerana dia mengerjakan Umrah dan Haji dalam bulan-bulan Haji pada tahun yang sama. Dikatakan juga kerana ia bertamattu’ (bersedap-sedap dengan menanggalkan Ihram setelah berihram) dalam bulan-bulan Haji dan tidak keluar ke Miqatnya atau ke suatu tempat yang jaraknya sekurang-kurangnya 2 marhalah dari Tanah Haram itu untuk berniat Ihram Haji.
Manakala syarat-syarat dikenakan dam bagi orang yang mengerjakan Haji Tamattu’ adalah seperti berikut:
1. Dia bukan daripada penduduk Mekah.
2. Dia tinggal di tempat yang jauhnya dua marhalah atau lebih dari Tanah Haram.
3. Dia mengerjakan Haji dan Umrah dalam bulan-bulan Haji pada tahun yang sama.
4. Dia tidak berniat ihram Haji di Miqat bagi penduduk negerinya atau bagi penduduk dari arah mana dia datang masuk ke Tanah Haram untuk mengerjakan Haji.
5. Dia tidak berniat Ihram Haji dari tempat yang jaraknya 2 marhalah atau lebih dari Tanah Haram.
KESIMPULAN
Kami ingin menasihati mereka yang mengerjakan haji agar mengerjakannya dengan sebaik-baiknya agar ibadah yang dilaksanakan diterima oleh Allah SWT. Bagi mereka yang perlu membayar dam, maka langsaikanlah ia mengikut apa yang telah ditetapkan oleh syarak.
Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.
Wallahua’lam
Pautan ke laman web rasmi PMWP: https://goo.gl/jQ4nG2
Huraian dipetik dari pada Page Fb Mufti Wilayah Persekutuan pada siri Bayan al-Haj #18.
No comments:
Post a Comment