al Quran Turun Secara Berkhimah - wanalovemekahmadinah

Thursday, January 25, 2018

al Quran Turun Secara Berkhimah

al Quran Turun Secara Berkhimah
AL-QURAN diturunkan pada 17 Ramadan. Allah SWT berfirman: "Bulan Ramadan itu diturunkan di dalamnya al-Quran" (al-Baqarah:185).

Juga pada ayat Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.(Al-Israa' 17:82)

Juga terdapat ayat lain menjelaskan turunya al-Quran secara beransur-ansur seperti 

Dan orang-orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)?" Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.

(Al-Furqaan 25:32)

al-Quran tidak turun melainkan secara berkhimat dan sungguh layak sekali diturunkan bagi menghuraikan perkara-perkara dan pedomen hidup manusia.Seperti ayat dibawah:

Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman, dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang mengembirakan bagi orang-orang Islam.

(Al-Nahl 16:102) 

Ibnu 'Abbas menjelaskan, turunnya pada Ramadan ialah turunnya al-Quran keseluruhannya dari Luh Mahfuz ke Bait al-'izzah di langit dunia.

Allah menurunkan al-Quran dalam dua bentuk. Pertama, secara langsung apabila Jibril mendatangi Nabi dan terus membacakan ayat-ayat al-Quran. Kaedah kedua, Jibril datang menyerupai lelaki dan menyampaikan wahyu.

Apabila al-Quran diturunkan, Baginda akan menghafal dan menyampaikannya kepada para sahabat. Mereka pula akan menghafalnya. Orang Arab terkenal dengan kekuatan hafalan.

Sehingga kini, ramai cendekiawan Islam khususnya Islam Arab, mempunyai tahap hafalan dan ingatan luar biasa.

Bacaan al-Quran Nabi disemak oleh Jibril pada setiap Ramadan. Para sahabat, seperti Zaid Thabit, Abdullah Mas'ud, Ali Abi Talib, Ubay Ka'ab dan lain-lain akan disemak bacaan mereka oleh Rasulullah.

Sebahagian sahabat akan menulis ayat-ayat al-Quran dan menyimpannya. Justeru, al-Quran sentiasa terpelihara.

Pada zaman Saidina Abu Bakar r.a, ramai sahabat yang hafaz al-Quran syahid di medan perang.

Saidina Umar r.a telah mencadangkan agar ayat-ayat al-Quran dikumpulkan. Maka Abu Bakar melantik Zaid Thabit mengetuai usaha itu.

Pengumpulan bermaksud semua tulisan ayat-ayat al-Quran di atas pelepah tamar, batu, tulang belulang, kulit, daun dan kayu dikumpul dan disemak. Ia juga menentukan susunan surah dan ayat.

Syarat yang ketat diletakkan oleh Umar dan Zaid ketika menerima setiap tulisan yang disumbangkan oleh para sahabat. Mereka yang ingin menyumbang perlu memenuhi syarat iaitu:

i. Mestilah menghafal ayat-ayat yang ingin disumbangkan

ii. Menulis ayat-ayat tersebut.

iii. Ayat-ayat tersebut telah ditulis ketika Rasulullah SAW masih hidup.

iv. Mendatangkan dua saksi bahawa ayat itu ditulis ketika Rasulullah hidup.

Zaid dan Umar akan menyemak dengan hafalan dan tulisan yang ada pada mereka. Proses itu adalah untuk memastikan kesempurnaan dalam pengumpulan al-Quran.

Kitab yang sempurna pengumpulannya disimpan oleh Abu Bakar seterusnya Umar, sebelum diberikan kepada Hafsah binti Umar.

Sewaktu zaman Saidina Uthman Affan r.a, Islam berkembang ke luar Semenajung Arab. Berlaku perbezaan dan pertelingkahan di kalangan orang bukan Arab berhubung bacaan al-Quran.

Maka Uthman sekali lagi mengamanahkan Zaid untuk menyelaraskan tulisan al-Quran dengan mengambil kira Sab'at Ahruf (tujuh qiraat) dan lahjah Quraish. Maka lahirlah al-Mushaf al-Uthmaniy yang telah disepakati oleh para ulama akan kewajipan umat ini untuk berpandukan dengan al-Mushaf al-Uthmaniy.

Uthman telah mengarahkan saki baki tulisan al-Quran yang lain dibakar. Maka bersatulah umat dengan al-Quran al-Mushaf al-Uthmaniy ini. Dan ia akan kekal terpelihara hingga ke hari kiamat.

Al-Quran terkumpul dengan rapi dan tiada padanya sebarang keraguan. Inilah kitab umat Islam. Ia adalah kalam Allah yang terpelihara.


Penulis DR. MOHD FAHMI ABDUL KHIR
Rujukan:Utusan

No comments:

Post a Comment