Anjuran Bersugi (Mengosok Gigi) - wanalovemekahmadinah

Monday, January 22, 2018

Anjuran Bersugi (Mengosok Gigi)

Anjuran Bersugi (Mengosok Gigi)
Anjuran bersugi ini sebagaimana termasuk amalan kesukaan Rasulullah s.a.w yang mengutamakan kesegaran dan kebersihan diri.Sebelum dihuraikan lebih mendalam mengenai amalan bersugi atau mengosok gigi,antara kelebihan dan manfaat membersihkan gigi adalah menguatkan ingatan.Ini saya kongsikan secara peribadi iaitu membersihkan gigi berkemungkinan menguatkan daya ingatan.Allahualam.

Adapaun maksud bersugi adalah sama makna dengan mengosok gigi.Cuma perkataan bersugi itu adalah membawa makna menggunakan kayu sugi.Maka hasilnya disebut sebagai bersugi.Apabila disebut bersugi,bermaksud mengosok,membersihkan gigi agar hilang bau tidak enak,juga memberikan rasa kesegaran pada diri.Disini juga akan disertakan mengenai hukum bersugi ketika sedang berpuasa atau dibulan ramadhan.


Waktu Dianjurkan Bersugi (Mengosok Gigi)


Ketika bangun daripada tidur. Ini berdasarkan hadits dari Huzaifah r.a dia berkata :


عَنْ حُذَيْفَةَ ، قَالَ : ” كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ يَشُوصُ فَاهُ بِالسِّوَاكِ” .

Adalah Rasulullah SAW apabila bangun daripada tidur di waktu malam, Baginda s.a.w membersihkan mulutnya dengan bersiwak (gosok gigi).(Sahih al-Bukhari : 240)

Setiap kali hendak berwudhuk. Ini berdasarkan hadits Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ , قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي ، لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ الْوُضُوءِ “

“Kalau aku tidak khuatir menyusahkan umatku, nescaya aku akan perintahkan untuk menggosok gigi setiap kali berwudhu.”([Musnad Ahmad : 10470. Shaikh Ahmad Syakir berkata: Isnadnya sahih)

Setiap kali hendak solat. Daripada Abu Hurairah r.a,Rasulullah s.a.w bersabda:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي أَوْ عَلَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ صَلَاةٍ “

Kalau aku tidak khuatir menyusahkan umatku, nescaya akan aku perintahkan untuk menggosok gigi setiap kali bersolat. (Sahih al-Bukhari : 844)

Ketika hendak masuk ke rumah. Daripada ‘Aisyah r.anha, beliau berkata:


عَنْ عَائِشَةَ ، ” أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، كَانَ إِذَا دَخَلَ بَيْتَهُ ، بَدَأَ بِالسِّوَاكِ “

Rasulullah s.a.w apabila masuk ke dalam rumahnya, baginda s.a.w akan memulakan dengan menggosok gigi. (Sahih Muslim : 377)

Di saat mulut mula berbau, kekuningan, selepas makan dan minum dan lain-lain. Ini kerana bersiwak (menggosok gigi dianjurkan untuk menjaga kebersihan dan kesihatan)
.
Ketika hendak membaca al-Quran. Ini berdasarkan hadits yang diriwayat daripada Ali bin Abi Talib r.a:


عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ُأَنَّهُ أَمَرَ بِالسِّوَاكِ ، وَقَالَ : قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا تَسَوَّكَ ، ثُمَّ قَامَ يُصَلِّي قَامَ الْمَلَكُ خَلْفَهُ ، فَتَسَمَّعَ لِقِرَاءَتِهِ فَيَدْنُو مِنْهُ ” أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا ” حَتَّى يَضَعَ فَاهُ عَلَى فِيهِ فَمَا يَخْرُجُ مِنْ فِيهِ شَيْءٌ مِنَ الْقُرْآنِ ، إِلا صَارَ فِي جَوْفِ الْمَلَكِ ، فَطَهِّرُوا أَفْوَاهَكُمْ لِلْقُرْآنِ “

Kami disuruh untuk menggosok gigi. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya apabila seorang insan menggosok gigi, kemudian dia bangun mendirikan solat , maka seorang malaikat berdiri di belakangnya dan mendengar bacaannya. Kemudian malaikat itu mendekatinya (kata perawi: atau menyatakan kalimat yang serupa) lalu meletakkan mulutnya di atas mulut orang tersebut sehingga tiada ayat-ayat al-Quran yang keluar dari mulutnya kecuali akan masuk ke dalam perut-perut malaikat. Oleh yang demikian, sucikanlah mulut kamu bila hendak membaca al-Quran. (Musnad al-Bazzar : 568. Shaikh Al-Albani menyatakan ia hadis hasan, lihat Sahih at-Targhib wa at-tarhib:215)


Hukum Bersiwak Bagi Yang Berpuasa



عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ خَيْرِ خِصَالِ الصَّائِمِ السِّوَاكُ.

Daripada 'Aisyah beliau berkata Rasulullah S.A.W bersabda: "Termasuk perkara baik yang dilakukan oleh orang yang berpuasa adalah bersiwak".* (Hadits riwayat Ibnu Majah : 1677)

Huraian ringkas 
Siwak atau miswak (Arab: ٌسِوَاك) adalah dahan atau akar dari pohon arak Salvadora persica yang digunakan untuk membersihkan gigi, gusi dan mulut.

Nabi SAW mengatakan pemakaian siwak sebagai sunnah iaitu amalan yang amat diberatkan. Dalam hadits lain diriwayatkan : “Siwak membersihkan gigi dan ini menyenangkan Allah. Setiap kali Jibril mengunjungiku, dia menyuruhku menggunakan siwak, hingga aku pun khuatir bahawa menggunakan siwak diwajibkan. Seandainya tidak khuatir akan membebani (menyusahkan) umatku, aku akan mewajibkannya.” (Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam al-Bukhari Rahimahullah meletakkan beberapa athar daripada para sahabat dalam permasalahan ini di dalam Sahihnya. Antara yang dinukilkan oleh beliau:


وَقَالَ أَنَسٌ إِنَّ لِي أَبْزَنَ أَتَقَحَّمُ فِيهِ وَأَنَا صَائِمٌ. وَيُذْكَرُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ اسْتَاكَ وَهُوَ صَائِمٌ

Telah berkata Anas bin Malik RA: “Sesungguhnya aku mempunyai tempat mengisi air dan aku masuk kedalamnya dan ketika itu aku sedang berpuasa”. Disebut dari Nabi SAW yang mana Baginda SAW bersugi dalam keadaan Baginda sedang berpuasa.

Ibn Umar R.Anhuma berkata:


وَقَالَ ابْنُ عُمَرَ يَسْتَاكُ أَوَّلَ النَّهَارِ وَآخِرَهُ، وَلاَ يَبْلَعُ رِيقَهُ. وَقَالَ عَطَاءٌ إِنِ ازْدَرَدَ رِيقَهُ لاَ أَقُولُ يُفْطِرُ

Maksudnya: (diperbolehkan) bersugi pada awal dan akhir siang dan tidak boleh menelan air liurnya. Telah berkata ‘Ato: Sekiranya ditelan air liurnya aku tidak mengatakan batal puasanya.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fath al-Baari ketika mensyarahkan “bab siwaak al-Ratbi wa al-Yabis li al-So’im”, bab ke-27 di dalam Kitab al-Saum, Sahih al-Bukhari mengatakan: “Dan dari tarjamah (bab), mengisyaratkan kepada penolakan bagi mereka yang memakruhkan orang yang berpuasa bersugi dengan menggunakan kayu sugi yang lembap seperti pendapat al-Malikiyyah dan al-Sya’bi”. (Fath al-Baari. Dar al-Salaam, 4/202)

*Telah bersepakat para ulama’ dalam mengatakan bahawa bersiwak atau bersugi dibolehkan bagi mereka yang berpuasa kecuali al-Syafi’eyyah dan al-Hanabilah (mazhab) mengatakan bahawa makruh bersugi selepas tergelincirnya matahari bagi mengekalkan bau mulut yang mana dalam sebuah hadits yang lain ada menyatakan bahawa bau mulut mereka yang berpuasa lebih harum dari bauan kasturi di sisi Allah SWT.

Allahualam

No comments:

Post a Comment